Saturday, 19 December 2015

Bincangkan, pada pandangan anda bagaimanakah keadaan kesihatan mental kanak-kanak prasekolah dan sekolah rendah di Malaysia. Adakah mereka menghadapi stress yang tinggi?

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pembaca sekalian.. 

Entri saya pada kali ini saya akan membincangkan pandangan saya dan anda sendiri mengenai keadaan mental kanak-kanak prasekolah dan sekolah rendah di Malaysia. Adakah mereka ini menghadapi keadaan stress yang tinggi? Menurut pandangan saya, ya, kanak-kanak di Malaysia pada zaman kini mengalami stress masing-masing. Mari sama-sama membincangkan pandangan mengenai isu ini.

Apa itu KESIHATAN MENTAL?

Dari apa yang saya faham, kesihatan mental merujuk sebagai kebolehan seseorang menyelesaikan masalah, memenuhi keperluan seseorang untuk menyayang dan bekerja, menyesuaikan diri dengan krisis dan mengekalkan tahap kesihatan diri atau sentiasa berada dalam keadaan yang baik.


Apa itu STRESS?

Dr Han. Style mendefinasikan teori stress ataupun tekanan perasaan sebagai “sesuatu reaksi yang tidak spesifik oleh diri seseorang yang disebabkan oleh sesuatu bebanan yang menimpanya”. Stress juga ditakrifkan sebagai satu situasi yang menunjukkan satu atau lebih perwatakan oleh kanak-kanak. Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka mendefinisikan stress sebagai akibat konflik yang dicirikan dengan keresahan sama ada melalui pertuturan atau perlakuan tertentu.

Gangguan stress akan menimbulkan pelbagai kesan terhadap kehidupan seseorang kanak-kanak. Menurut Terri Mauro (2004), Antara punca berlakunya stress dalam kalangan kanak-kanak adalah disebabkan persekitaran sekolah, peristiwa dalam keluarga, pengaruh rakan sebaya, tindakan guru dan lain-lain.

Melalui persekitaran sekolah, kanak-kanak mendapat gangguan stress berpunca dari keadaan persekitaran sekolah yang tidak kondusif. Sebagai contoh, gangguan itu mungkin berlaku akibat masalah kesesakan di dalam kelas yang boleh mewujudkan kecenderungan murid untuk melakukan kesalahan disiplin. Hal ini selaras dengan pendapat dari  Ketua Jabatan Pendidikan Kaunseling dan Psikologi Kaunseling, Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM, Prof.Madya Dr. Rusnani Abdul Kadir yang mendapati bahawa kecenderungan kea rah perlakuan negative wujud kerana dipengaruhi unsure rangsangan di sekeliling mereka. Ini bermaksud murid mungkin melakukan kesalahan akibat daripada suasana persekitaran yang tidak kondusif dan menggangu emosi mereka.

Selain itu, peristiwa dalam keluarga juga akan menjadi punca kanak-kanak mengalami stress.  Peristiwa dalam keluarga selalunya melibatkan perubahan yang besar dan penyesuaian dalam kehidupan murid. Peristiwa dalam hidup berkemungkinan bersifat positif atau negatif serta melibatkan diri sendiri atau orang yang tersayang. Contohnya, peristiwa negatif  seperti penderaan, penceraian ibu bapa, kemalangan dan kematian. Bagi yang positif pula seperti  seorang ibu telah mengandung, kenaikan pangkat dalam kerjaya dan berpindah rumah.  Peristiwa-peristiwa ini memberi kesan ke atas masalah emosi seseorang kanak-kanak.

Seterusnya, keluarga yang sering bertengkar, bergaduh dan kurang mesra, tidak menaruh minat terhadap anak-anak akan membawa keadaan gangguan emosi dan penyesuaian kanak-kanak yang tidak stabil.  Dari segi tingkah laku, kanak-kanak berkenaan mungkin akan bertindak berlainan di antara satu sama lain. Sesetengahnya  ada yang menjadi kaku, ada juga yang tidak menunjukkan sebarang reaksi atau emosi.

Tiada seorang individu pun yang tidak akan mengalami masalah stress. Semua yang hidup pasti akan merasai masalah stress tidak kepada kanak-kanak sahaja. Dengan ini, sebagai seorang dewasa, kita perlu pandai mengawal tahap stress. Sekiranya kita mampu mengawal tahap stress kita, kita juga mampu dan boleh membantu kanak-kanak daripada mengalami masalah stress.


Sekian sahaja entri pada hari ini. Sila tinggalkan pandangan anda tentang entri kali ini. Terima kasih.

Friday, 18 December 2015

Kecerdasan Emosi dan Sosial adalah Lebih Penting daripada Kecerdasan Intelek dalam Dunia Pekerjaan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pembaca sekalian.. 

Entri saya pada kali ini saya akan menyentuh tentang kecerdasan emosi dan sosial adalah lebih penting daripada kecerdasan intelek dalam dunia pekerjaan. 

Kecerdasan emosi berkait rapat dengan emosi mental seseorang individu. Selain itu kecerdasan emosi ini juga dirujuk kemampuan individu dalam mengawal emosi serta berkait denagn daya ketahanan diri, penentuan, memotivasikan diri dan lain-lain lagi. Ianya merupakan salah satu kemahiran untuk memahami, menghayati dan merasai  dimana mampu memahami atau memproses maklumat emosi. Menurut Cooper (1997), individu yang mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi  ini dapat menjalinkan hubungan yang lebih bersifat kemasnusiaan, mewujudkan kepercayaan orang lain kepada kita, menghasilkan kreativiti dan boleh mempengaruhi orang lain.

Perbezaannya dengan orang yang mempunyai kecerdasan intelek ialah individu yang mempunyai kecerdasan intelek ini individu yang cepat belajar. Bagi sahaja tahap kesusahan soalan, pasti mampu diselesaikan. Selain itu digunakan untuk meguji tahap minda. Semakin tinggi IQ semakin tinggi tahap kebijaksaaannya. IQ tidak dapat diperkembangkan dan dikurangkan. Berdasarkan pengalaman, saya mempunyai seorang sepupu yang bijak. IQ nya sangat bagus tetapi EQ nya rendah. Kadangkala individu ini tidak menghormati orang lain seperti pakcik dan makciknya sendiri. Sedangkan orang lain boleh kenapa individu ini tidak boleh.


Kesimpulannya, kecerdasan emosi dan sosial ini perlu selari dengan kecerdasan intelek supaya mampu meningkatkan potensi diri dalam mencapai kejayaan.

Wednesday, 16 December 2015

Kesan Anak Yang Tidak Mempunyai Perapatan Dengan Bapa

              
Assalamualaikum dan selamat sejahtera.. 

              Maksud perapatan ialah hubungan kasih sayang yang berterusan dan berpanjangan serta kekal sepanjang hayat. Perapatan ini juga dapat membuatkan individu berasa selamat, selesa dan gembira berada di samping seseorang.  Ia terjadi sejak lahir iaitu semasa berada di dalam kandungan ibu lagi. Selain itu perapatan ini juga boleh terjalin di antara ibubapa, ahli keluarga, guru, rakan, jiran dan masyarakat.
 
             Ibu bapa adalah orang yang pertama yang bergelar guru kepada anak serta dalam pendidikan awal kanak- kanak. hubungan kasih sayang antara ibu bapa dan anak serta persekitaran boleh ditafsirkan sebagai perapatan.
 
             Pipp & Haromon (1987) menyatakan bahawa perapatan merupakan sejenis hubungan emosi yang kuat antara dua individu yang cuba dikekalkan melalui kemesraan fizikal seperti sentuhan, penglihatan, pendengaran, senyuman atau percakapan.
Dalam perkembangan emosi bayi, perapatan yang dibentuk
adalah di antara bayi dan penjaganya. Ikatan atau hubungan ini adalah untuk mendekatkan penjaga kepada dirinya bagi memenuhi keperluan-keperluan asas, keselamatan dan kasih sayang.
 
           Hubungan perapatan antara anak dengan ibu bapa adalah penting dalam membentuk peribadi serta untuk memupuk nilai-nilai murni di dalam diri kanak- kanak. Perapatan antara anak dan ayah sangat perlu bagi memastikan anak itu bukan sahaja mendapat perhatian dari ibunya malahan perhatian daripada bapanya sekali.
 
          Sekiranya anak tidak mempunyai perhubungan perapatan yang baik dengan bapa, pembentukkan nilai murni yang ingin diterapkan akan terjejas. Perapatan dengan ibu bapa ini boleh mempengaruhi sosioemosi anak. Berdasarkan pengalaman, saya dan ayah saya tidak begitu rapat kerana disebabkan faktor usia yang agak jauh. Memandangkan ayah saya seorang yang garang dan tegas, saya tidak begitu rapat dengannya. Adakalanya apa yang dicakap oleh ayah, saya tidak mengambil kira tetapi saya lebih mendengar kata ibu saya. Itu antara contoh dan kesan apabila berlakunya anak tidak mempunyai perapatan dengan bapa.  Semasa berada di zaman kanak-kanak, saya rapat. Semakin meningkat umur semakin ada jurang antara kami. Tetapi itu bukanlah alasan untuk saya tidak menyukai ayah sendiri. Saya begitu sayangkan ayah saya tetapi faktor usia yang membuatkan saya dan ayah tidak rapat. Kini, segala perkara yang berlaku, ibu saya lah yang akan saya cari dahulu.
 
           Kesimpulannya, perapatan antara anak dan ayah sememangnya penting dari lahirnya seorang anak itu. Seorang anak tidak boleh hanya bergantung kepada ibu tetapi bapa juga perlu memainkan peranannya sebagai seorang bapa.

Sekian dahulu entri saya. Wasalam. 



Tuesday, 15 December 2015

Bincangkan : Peranan Rakan Sebaya Dalam Mempengaruhi Perkembangan Sosioemosi Kanak- Kanak

Assalamualaikum & selamat sejahtera kepada para pembaca sekalian. Entri pada kali ini adalah berdasarkan sosioemosi kanak-kanak yang dibina melalui beberapa faktor persekitaran. Salah satu faktor yang memperngaruhinya adalah rakan sebaya. 

Masih jelas lagi dalam ingatan semasa berada dibangku sekolah  rendah, cikgu sering mengingatkan mengenai “pengaruh rakan sebaya”. Kata cikgu, inilah penyebab seseorang pelajar itu berjaya atau tidak. Hal ini adalah kerana kawan memainkan  pengaruh yang paling kuat terhadap seseorang individu.  Situasi ini adalah selaras dengan satu kajian yang dijalankan oleh Student Social Support Scale menyatakan , kanak-kanak merasakan rakan mereka adalah penting kepada mereka (Malecki & Elliott,1999). Apa saja penyebab seseorang pelajar itu berjaya  adalah pengaruh rakan sebaya. Namun apabila umur kita semakin meningkat dewasa, kita tidak lagi memikirkan hal ini. Kita hanya berkawan dengan sesiapa yang kita rasa selesa dan seronok untuk berkawan sahaja. Jadi cara kita menerima seseorang itu masuk dalam hidup kita adalah bergantung kepada apa perasaan kita terhadap orang itu. 
Kita juga perlu mengetahui konsep rakan sebaya itu. Rakan sebaya merupakan kumpulan remaja yang sama dari segi umur, pendidikan atau kelas sosial dan minat. Kanak-kanak lazimnya menggunakan rakan sebaya sebagai panduan apabila menilai dirinya sendiri dari segi tingkah laku, personaliti, kemahiran serta kebolehan (Nursuhaili, 2010). Peranan rakan sebaya adalah lanjutan kepada proses sosialisasi dalam keluarga. Kumpulan rakan sebaya dapat berfungsi sebagai penggantian jika perhubungan dengan ibu bapa tidak baik atau tegang. Pada kebiasaannya, pada zaman kanak-kanak dan remaja, rakan sebaya mempunyai pengaruh yang besar terhadap pelajar. Segala gerak-geri dan tingkah laku akan ditiru atau diikuti oleh rakan sebayanya. 
Nursuhaili (2010), menyatakan bahawa rakan sebaya memainkan peranan yang sangat penting dalam mengembangkan kebolehan sosial serta kognisi sosial. Menurut Nursuhaili, (2010), selain daripada mengembangkan kebolehan dan kognisi sosial, rakan sebaya juga turut mempengaruhi sikap dan tingkah laku seseorang individu. Tingkah laku yang biasanya dipengaruhi oleh rakan sebaya adalah merangkumi cara bercakap, cara berpakaian, dan juga cara belajar.  Rohani Abdullah (2001), menekankan kepentingan peranan rakan sebaya adalah sangat positif dalam mempengaruhi perkembangan sosial, bahasa dan pendidikan seseorang individu.
Selain itu juga rakan sebaya dikenal pasti mempunyai pengaruh yang kuat terhadap proses pembentukan akhlak di kalangan pelajar sekolah (Che Noraini, 2005). Pengaruh rakan sebaya adalah penting dalam perkembangan kanak-kanak, khasnya dari perkembangan intelek, sahsiah, emosi dan sosial. Misalnya; kanak-kanak bergaul dengan rakan sebaya yang rajin belajar akan mendorong perkembangan intelek dan potensinya ke tahap optimum. Kanak-kanak yang bersosialisasi dengan rakan sebaya yang bersopan santun akan menyerap nilai-nilai murni yang positif daripada mereka.

Kesimpulannya, jelaslah bahawa peranan rakan sebaya ini sangat penting dan amat positif  dalam mempengaruhi dan meningkatkan perkembangan sosioemosi kanak - kanak di dalam kehidupan seharian mereka  selepas peranan daripada keluarga kanak - kanak. 

Sekian sahaja entri saya pada kali ini. Wasalam.